Wednesday 10 April 2013

Sentuhan Nurani di KASeH Kelantan


BACHOK, KELANTAN, 1 Apr 2013 - Seramai 121 pelajar sekolah rendah telah berkampung selama tiga hari dua malam di Tanjung Chap Beach Resort di sini dari 25 hingga 27 Mac untuk menyertai Kem Anak Soleh (KASeH) yang dianjurkan oleh Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) cawangan Negeri Kelantan.
Menurut pengarah kem, Cik Nurul `Atiqah Mahmud, peserta telah datang dari seluruh pelusuk Kelantan termasuk Gua Musang dan Tanah Merah. Kem yang dijayakan bersama 20 fasilitator lelaki dan perempuan itu membawa tiga misi utama. Pertama, menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak-anak dalam aspek aqidah, ibadah dan akhlak melalui sirah. Kedua, menanam dan memantapkan akidah anak-anak serta kefahaman mereka tentang kepentingan dan keperluan solat. Yang terakhir, untuk mencungkil bakat, potensi dan kebolehan mereka ke arah kebaikan.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat peserta ialah Malam Cilik Muslim, Slot Anak Soleh, Kembara Kasih dan Modul Al-Fatihah. Encik Jumat Mat Salleh daripada Puncak Himmah Consultancy telah bersama adik-adik peserta dalam Slot ‘Warkah Buat Ibu Ayah’ sebelum pulang ke Sabah.
Salah seorang peserta perempuan 12 tahun, Amani Nasuha Che Adnan amat menyukai slot tersebut. “Paling menyentuh hati sekali adalah semasa aktiviti dengan abang Jumat. Selepas slot tu, barulah saya sedar tanggungjawab saya sebagai anak. Masa tu juga, saya tak sabar nak balik sebab nak cium, peluk dan minta maaf dekat mama dan abah. Dan saya juga nak ucap banyak-banyak terima kasih kat mama dan abah sebab hantar saya kat kem ni,” kata adik Nasuha dengan sebak.
Menyentuh perasaan apabila salah seorang peserta perempuan, Tengku Farah Anisha Tuan Zaki, 12 tahun berkata, “Saya tak nak pergi kelas tambahan sebaliknya saya ke kem ini. Kalau saya tak sertai, saya dah tak ada peluang untuk melalui zaman kanak-kanak saya. InsyaAllah, Allah akan bantu saya dalam UPSR nanti.”Dengan keyakinan yang jitu, Farah menjawab persoalan kenapa memilih untuk menghadiri Kem Anak Soleh. Adik Farah juga mengatakan inilah kali pertama dan kali terakhir dia menghadiri kem seperti ini memandangkan beliau akan memasuki sekolah menengah selepas ini.
Mengikut kepada perancangan, pihak penganjur mungkin akan mengulangi lagi Kem Anak Soleh untuk sesi ke-2 pada cuti sekolah akhir tahun nanti kerana sambutan yang hangat. Keberhasilan matlamat kem ini mungkin telah tercapai apabila melihat sikap adik-adik peserta yang berubah ke arah lebih baik menjelang akhir kem. Ada di antara mereka yang menerpa, memeluk dan meminta maaf kepada ibu ayah, serta adik-beradik mereka di akhir program. 

Laporan Nurul Zati Amani Mahmud, KeARAH Kelantan 
Antara slot yang mencungkil daya kreativiti peserta

TEKUN.. Menjalani aktiviti
Fasilitator bersama peserta cilik
Peserta beraktiviti ditepi pantai
Antara aktiviti Ice-Breaking
Perbincangan Kumpulan membuka minda
Adik-adik peserta yang sentiasa bersemangat
Celoteh bersama Encik Jumat Mat Salleh dari Sabah
Adik Tengku Farah Anisha

Adik Amani Nasuha Che Adnan
Sumber : Kearah Haluan Kelantan

Salam Ukhuwwah Fillah
Mahfuzah Hamizah

0 comments:

Post a Comment